KUALA PENYU, 12 Mei – Sebanyak RM7 juta diperuntukkan bagi menaik taraf 38 tapak tamu desa yang telah dikenal pasti di seluruh Sabah, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata peruntukan berkenaan adalah untuk pelaksanaan fasa pertama Projek Tamu Desa di negeri itu.

“Bagi program ini, pejabat daerah bertanggungjawab sebagai agensi pelaksana untuk memastikan pelaksanaan projek mengikut skop kerja ditetapkan.

“Pejabat daerah juga akan melaporkan status pelaksanaan projek ini setiap bulan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh pegawai daerah,” katanya dalam kenyataan selepas merasmikan Karnival Tekun MADANI dan Pameran Satu Daerah Satu Industri di sini hari ini.

Menurut Ewon, pasar tamu komuniti atau pasar minggu adalah tempat masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah bertemu, selain memiliki keunikan tersendiri kerana menjual pelbagai produk tempatan.

Sementara itu Ewon berkata kementeriannya memulakan Program Pembangunan Premis Tamu Desa bertujuan menaik taraf kemudahan ruang niaga serta pusat penjaja di luar bandar di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan Persekutuan telah bersetuju meluluskan peruntukan bagi tujuan pelaksanaan Program Pembangunan Premis Tamu Desa di Sabah.

“Program ini akan menyediakan atau menaik taraf ruang niaga dan pusat penjaja dengan infrastruktur yang lebih kondusif bagi memudahkan akses pemasaran produk jualan lebih berkesan di tapak lokasi perniagaan,” katanya.

Pada majlis itu, Ewon turut mengumumkan peruntukan RM400,000 bagi memulakan kerja-kerja menaik taraf dua tapak tamu di Kuala Penyu menerusi projek Tamu Desa sekali gus berharap ia dapat menyediakan kemudahan ruang niaga lebih kondusif dan selesa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here