TUMPAT, 17 Mei – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah menyiapkan sepenuhnya kerja-kerja menaik taraf Pasar Terapung Pulau Suri di sini bagi merancakkan sektor pelancongan Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat berkata kerja-kerja menaik taraf pembangunan di pasar terapung itu telah siap pada Januari tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta termasuk penyediaan pelbagai kemudahan asas.

“Kemudahan asas seperti surau, tandas, tempat basuh tangan, tiang penjaja untuk perahu dan kemudahan meja makan juga telah disediakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pasar Terapung Pulau Suri hari ini yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud

Beliau berkata ECERDC komited dalam membangunkan ekosistem pelancongan mampan yang tidak hanya meningkatkan taraf hidup komuniti tempatan malah mampu menjana kemakmuran ekonomi jangka panjang negeri itu.

Terdahulu, Mohd Nassuruddin berkata inisiatif pembangunan ECERDC mewujudkan destinasi bagi sektor pelancongan adalah seiring dengan rancangan kerajaan negeri untuk menjadikan Kelantan destinasi yang menarik.

“Kerajaan negeri yakin Tahun Melawat Kelantan 2024 yang membawa tema ‘Keluarga, Makanan dan Festival’ akan menarik lebih 10 juta pelancong ke negeri ini,” katanya.

Pulau Suri atau lebih dikenali sebagai Kampung Pulau Suri adalah kampung nelayan tradisional di jajahan Tumpat, yang kini dibuka kepada pengunjung pada setiap Jumaat dan Sabtu bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Pasar terapung Pulau Suri merupakan antara pasar terapung terawal di negara ini yang menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung dengan pelbagai makanan dan barangan berasaskan tradisional dijual oleh penduduk kampung pada harga berpatutan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here