BEIJING, 19 Mei – Naib Presiden China Han Zheng dan Presiden Rusia Vladimir Putin bersama-sama menghadiri majlis perasmian Ekspo China-Rusia ke-8 di bandar Harbin pada Jumaat.

Han telah membaca surat tahniah oleh Presiden Xi Jinping, dan menyampaikan ucapan.

Beliau berkata Ekspo China-Rusia telah menjadi wadah penting untuk mempergiat pertukaran dan kerjasama antara kerajaan tempatan dan kalangan perusahaan di kedua-dua negara.

“Jumlah dagangan China-Rusia mencapai rekod tertinggi iaitu USD240.1 bilion pada tahun 2023, dan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Rusia selama 14 tahun berturut-turut.

“Jumlah pelaburan dua hala antara kedua-dua negara ini terus meningkat, manakala projek utama dalam sektor tenaga, industri kimia, aeroangkasa, dan kesalinghubungan melakar kemajuan besar,” kata Han Zheng.

Putin pula menyatakan bahawa beliau dan Presiden Xi telah mengadakan rundingan yang penting dan berhasil, selain membuat perancangan untuk perkembangan hubungan dua hala bagi jangka panjang.

“Lawatan saya kali ini amat berjaya. Kami akan meningkatkan koordinasi, merapatkan kerjasama praktikal dalam pelbagai sektor, mempromosikan kerjasama antara Timur Jauh dengan kawasan timur laut China, hingga mendorong hubungan kedua-dua negara kita mencapai perkembangan yang lebih baik,” kata Putin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here