KUALA NERUS, 20 Mei – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) komited memastikan kehidupan penduduk pantai timur yang lebih baik menjelang 2030 dengan mengambil kira 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat berkata penganjuran Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (SDG) 2024: Wilayah Timur di sini hari ini menjadi bukti keseriusan organisasi itu dalam merealisasikan perkara tersebut.

Beliau berkata tiga program prapersidangan di laman Warisan Kampung Laut di Tumpat, Kelantan; Tasik Chini di Pekan, Pahang dan KampungStay@Teluk Buih Mersing, Johor serta lawatan teknikal di Setiu Wetlands di Setiu, Terengganu juga telah meningkatkan kesedaran peserta dan rakyat di kawasan berkenaan mengenai SDG.

“SDG adalah untuk menjadikan kehidupan rakyat di pantai timur lebih baik dari pelbagai aspek termasuk sosial, ekonomi dan alam sekitar. Kami di ECERDC apabila membuat sesuatu program, kami mengambil kira 17 matlamat dalam SDG untuk pastikan ia tercapai.

“Semua SDG ini libatkan kehidupan rakyat, jadi bila buat program untuk cari pendapatan misalnya, hendaklah pastikan kebudayaan, alam sekitar dan sebagainya terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan sidang kemuncak itu di sini hari ini.

— LAGI 

ECERDC-SDG 2 (AKHIR) KUALA NERUS 

Sebagai contoh, Baidzawi berkata program pemeliharaan dan pemuliharaan Masjid Kampung Laut di Tumpat yang berusia 400 tahun merupakan fokus SDG 11 (bandar dan komuniti mampan) melibatkan perlindungan warisan budaya dan alam semula jadi serta SDG 8 (pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi) yang menggalakkan pelancongan bermanfaat.

Sementara itu Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Ekonomi Datuk Luqman Ahmad dalam ucapannya berkata program tersebut akan menjadi input kepada kementerian dalam merangka Rancangan Malaysia ke-13. 

Beliau berkata sidang kemuncak SDG hari ini adalah edisi terakhir di peringkat wilayah sebelum Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024 peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada Julai depan.

“Kementerian Ekonomi menyambut baik inisiatif-inisiatif ECERDC untuk melindungi alam sekitar, memelihara serta memulihara warisan, seni dan budaya tempatan menerusi projek pembangunan semula,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here