SERDANG, 22 Mei – Jenama kenderaan utiliti sukan (SUV) premium China, Jaecoo, komited terhadap pertumbuhan jangka panjangnya di Malaysia dengan sokongan rangkaian perkhidmatan yang kukuh.

Presiden Jaecoo Malaysia  Leo Chen berkata dengan kerjasama rangka kongsi pengedarnya, syarikat itu berusaha untuk menawarkan kenderaan terbaik dalam kelasnya, yang dilengkapi dengan teknologi inovatif dan menyediakan pengalaman terbaik pelanggan kepada pasaran Malaysia. 

“Falsafah jenama kami, ‘From Classic, Beyond Classic’, jelas menggariskan matlamat kami dalam mentakrifkan semula kemewahan yang boleh dicapai sebagai jenama SUV yang berdaya saing. 

“Seperti yang anda boleh lihat, Jaecoo bersedia untuk terus bersaing di pasaran Malaysia,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian bersama pengedar di Malaysia Autoshow 2024 di sini hari ini.

Dalam satu kenyataan, Jaecoo juga mengumumkan sebanyak 35 pengedar akan bertanggungjawab ke atas pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan SUV premium Jaecoo di seluruh wilayah tengah, utara, selatan dan timur Malaysia.

“Malaysia baru-baru ini telah mengatasi Thailand untuk menjadi pasaran kereta kedua terbesar di Asia Tenggara, selepas Indonesia.

“Peralihan utama ini menjadi petunjuk positif daya tarikan Malaysia dalam kalangan pengeluar kereta. Justeru itu, menyedari potensi pasaran Malaysia, Jaecoo komited untuk membangunkan rangkaian perkhidmatan yang kukuh di negara ini sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjangnya,” katanya.

Pada pameran kenderaan itu, Jaecoo Malaysia turut memperkenalkan barisan kenderaan baharunya, iaitu kenderaan elektrik hibrid plug-in Jaecoo J7, dengan julat harga antara RM150,000 hingga RM160,000 dan pratonton kenderaan elektrik lengkap Jaecoo J6.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here