BEIJING, 30 Mei – Presiden China Xi Jinping menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Peringkat Menteri ke-10 Forum Kerjasama China-Negara Arab (CASCF) dan menyampaikan ucaptama di Wisma Tamu Diaoyutai di Beijing pada Khamis.

Xi menyatakan bahawa China komited bekerjasama dengan negara-negara Arab untuk membina hubungan China-Arab sebagai penanda dalam memelihara keamanan dan kestabilan dunia. 

“China ingin berganding bahu dengan negara-negara Arab untuk menghormati misi dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menghormati pilihan bebas rakyat di pelbagai negara, dan menghormati realiti objektif yang lahir dalam pengembangan sejarah.

“Selain itu, kita harus mencari cara penyelesaian yang kondusif bagi isu-isu hangat di dunia demi memelihara keadilan dan kesaksamaan serta mewujudkan keamanan dan kestabilan berkekalan,” kata Xi.

Beliau menyatakan bahawa melalui usaha bersama kedua-dua pihak, “lapan tindakan bersama” untuk menggalakkan kerjasama praktikal antara China dan negara-negara Arab yang dianjurkan beliau sempena Sidang Kemuncak China-Arab pertama telah melakar hasil tuaian awal yang menggalakkan.

“Berdasarkan hasil tersebut, China bersedia membina ‘lima pola kerjasama’ dengan negara-negara Arab untuk mempercepat pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Arab,” kata Xi.

Pola-pola itu antara lain termasuk pembangunan dipacu inovasi yang lebih dinamik, pelaburan kewangan yang berskala lebih besar, kerjasama sumber tenaga yang lebih pelbagai, hubungan ekonomi dan perdagangan yang lebih seimbang, dan pertukaran rakyat dengan rakyat yang lebih luas. 

Xi berkata, China berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai semasa Sidang Kemuncak China-Negara Arab pertama, di samping menzahirkan kesediaan untuk melonjakkan hubungan kedua-dua pihak ke tahap baharu.

Beliau turut mengumumkan bahawa China akan menganjurkan Sidang Kemuncak China-Negara Arab edisi kedua di negara ini pada tahun 2026. 

Yang turut hadir pada majlis perasmian mesyuarat ini ialah Raja Bahrain Hamad bin Isa Al Khalifa, Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi, Presiden Tunisia Kais Saied, Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, dan Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul-Gheit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here