MELAKA, 8 Jun – Pembinaan bangunan baharu Klinik Kesihatan Simpang Bekoh, Jasin melibatkan kos RM23.8 juta dijangka siap pada Januari depan, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka Ngwe Hee Sem.

Beliau berkata kemajuan semasa kerja-kerja pembinaan klinik kesihatan jenis empat yang dilengkapi dengan kuaters petugas itu kini mencapai 50 peratus, melebihi kemajuan mengikut jadual semasa iaitu 46 peratus.

“Semalam saya bersama wakil Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Jabatan Kerja Raya telah melawat tapak pembinaan Klinik Kesihatan Simpang Bekoh bagi melihat kemajuan semasa projek berkenaan.

“Sebelum ini, saya dimaklumkan projek itu lambat dua peratus daripada jadual semasa yang ditetapkan tetapi semalam kemajuannya telah melebihi jadual semasa dan saya akan membantu agar ia dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan iaitu pada Januari tahun hadapan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pembinaan di tapak berkeluasan 4.05 hektar itu mula dilaksanakan pada Ogos 2021 dan sepatutnya siap dalam tempoh tiga tahun iaitu pada Ogos tahun ini.

Menurut Ngwe klinik kesihatan merangkumi satu blok bangunan itu menyediakan perkhidmatan kecemasan dan pesakit luar, klinik kesihatan ibu dan anak serta klinik pergigian selain dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain seperti rumah pam dan jana kuasa bagi memastikan klinik terbabit sentiasa mempunyai bekalan air dan elektrik yang mencukupi.

Pembinaan bangunan baharu klinik itu juga, katanya dilaksanakan bagi menaik taraf perkhidmatan kesihatan rakyat di kawasan berkenaan selain memberi keselesaan kepada mereka dan petugas klinik berkenaan.

Ngwe berkata kerajaan negeri juga telah membuat beberapa permohonan menarik taraf termasuk pembinaan bangunan baharu klinik beberapa klinik kesihatan di negeri itu antaranya Sungai Rambai dan Klinik Kesihatan Duyong, namun ia bergantung pada kelulusan peruntukan daripada Kementerian Kesihatan.

“Selain itu, kerajaan negeri berharap Kementerian Kesihatan dapat menambah baik masalah parkir di klinik kesihatan yang menjadi antara aduan utama orang awam dan pesakit,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here