KUALA LUMPUR, 12 Jun – DKSH Holdings (M) Bhd, melalui unit perniagaan penjagaan kesihatannya memeterai perkongsian strategik dengan SciGen Pte Ltd dari Singapura untuk meluaskan kerjasama dan meningkatkan pengedaran farmaseutikal di Malaysia.

Ini merupakan perkongsian kedua antara DKSH dan syarikat biofarmaseutikal itu susulan kerjasama awal mereka di Vietnam.

Kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata menerusi perjanjian tersebut, DKSH akan menyediakan perkhidmatan jualan, pemasaran lapangan, pengedaran, logistik, serta kredit dan pengumpulan.

“Kerjasama ini bertujuan untuk memanfaatkan kepakaran khusus DKSH bagi meningkatkan ketersediaan dan pengedaran produk berkualiti tinggi SciGen di pelbagai saluran, termasuk hospital swasta dan awam di Malaysia.

“Kecekapan DKSH dalam perkhidmatan pengembangan pasaran akan memastikan pengedaran produk SciGen yang cekap dan tepat pada masanya kepada farmasi, hospital, dan penyedia penjagaan kesihatan di seluruh Malaysia,” kata kenyataan itu.     

Ketua Pengurusan Negara dan Naib Presiden, Penjagaan Kesihatan DKSH Malaysia, Sandeep Tewari berkata melalui kepakaran global dan pengalaman tempatan DKSH, syarikat itu berhasrat dapat meningkatkan akses kepada ubat-ubatan berkualiti tinggi daripada SciGen di Malaysia. 

“Kami berharap dapat memperkenalkan produk baharu SciGen untuk memenuhi keperluan pesakit kritikal, sejajar dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan akses dan kualiti penjagaan kesihatan negara,” katanya.   

 Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Rantau Asia Pasifik SciGen Dr Shazli Ahmed Khan berkata SciGen giat meneroka peluang pengembangan di seluruh rantau Asia dengan matlamat utama untuk meningkatkan akses kepada portfolio produk sedia ada dan akan datang bagi pesakit yang memerlukan.        

“Malaysia mempunyai kepentingan strategik dalam operasi kami di Asia, dan kami komited untuk bekerjasama dengan entiti penjagaan kesihatan tempatan bagi mencapai objektif ini, yang seterusnya akan memberi manfaat kepada pesakit di Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here