NEW DELHI, 7 Julai – Demam denggi melanda  beberapa bahagian di negeri selatan India, Karnataka, dengan hampir tujuh orang disyaki meninggal dunia akibat penyakit itu dan lebih 7,000 kes direkodkan, menurut seorang pegawai Jabatan Kesihatan negeri.

Lebih 1,000 kes didaftarkan di ibu negeri Bengaluru sahaja.

Antara daerah yang teruk terjejas oleh demam denggi ialah Hassan, Chikmagalur, Bengaluru dan Mysore.

Memandangkan jumlah kes demam denggi yang semakin meningkat, ahli parlimen persekutuan dari kawasan luar bandar Bengaluru dan pakar kardiologi terkenal C.N. Manjunath menggesa kerajaan negeri untuk mengisytiharkan demam denggi sebagai “darurat perubatan negeri”.

Beliau memberi amaran bahawa jika pembiakan nyamuk tidak dikawal, ia juga boleh membawa kepada penyakit Chikungunya, Zika dan penyakit berbahaya lain.

Laporan media memetik ahli parlimen itu sebagai berkata, “Kes meningkat hampir 7,000 di negeri ini dengan kira-kira enam hingga tujuh kematian. Hassan, Chikmagalur, Bengaluru, dan Mysore, antara daerah lain yang  menyaksikan peningkatan mendadak dalam kes denggi. Kerajaan perlu mengisytiharkan darurat perubatan negeri untuk mengawal jangkitan ini.”

Sementara itu, ibu negara New Delhi juga menyaksikan penularan wabak denggi, dengan sejumlah 240 kes dicatatkan sehingga Sabtu malam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here