KUALA LUMPUR, 9 Julai – Rang Undang-Undang Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 bagi menubuhkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Rang Undang-undang itu dibentang  Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan akan dibentang untuk bacaan kali kedua pada sesi mesyuarat Dewan Rakyat yang sama.

Menurut naskah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, rang undang-undang itu antara lain menjelaskan mengenai cadangan fungsi serta kuasa MCBA yang berhubungan dengan kawalan dan perlindungan sempadan selain mengadakan peruntukan bagi perkara berkaitan.

Ia juga mencadangkan jika sesuatu kesalahan dilakukan di bawah mana-mana undang-undang bertulis Negeri Sabah atau Sarawak, penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan kesalahan itu akan dilaksanakan pihak berkuasa negeri masing-masing.

Sebelum ini dilaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyaksikan penyerahan dokumen terma rujukan MCBA sebagai penyelaras antara agensi keselamatan dan penguatkuasaan mengenai kawalan dan perlindungan sempadan negara kepada enam kementerian dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Melalui Dokumen Terma Rujukan itu, dilaporkan MCBA akan menyelaras sebarang aktiviti operasi khas berkaitan dengan kawalan dan perlindungan sempadan negara melibatkan jabatan dan agensi rakan strategik yang selari dengan undang-undang, berkuat kuasa melalui mesyuarat-mesyuarat diadakan mengikut kesesuaian.

Ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lepas, Anwar mengumumkan penubuhan SBA (kini MCBA) sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here