NEW DELHI, 10 Julai – Perdana Menteri India Narendra Modi dan Presiden Rusia Vladimir Putin mengadakan perbincangan di Moscow pada Selasa untuk memajukan hubungan dua hala dengan tumpuan kepada tenaga dan perdagangan.

Perbincangan mereka turut merangkumi isu Ukraine, dengan Modi memberitahu Putin bahawa penyelesaian aman terhadap konflik itu harus dicari.

Terperangkap antara sejarah hubungan rapatnya dengan Rusia dan hubungan yang semakin berkembang dengan blok Barat yang dipimpin oleh Amerika Syarikat, India menghadapi cabaran dalam mengutamakan kepentingan ekonomi, ketenteraan dan geopolitiknya.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dalam satu hantaran di media sosial pada Isnin mengkritik Modi kerana memeluk Putin di kediaman presiden Novo-Ogaryovo di luar Moscow.

Pada Selasa, Modi dalam kenyataannya semasa pertemuan dengan Putin sebelum perbincangan peringkat delegasi rasmi menyebut tentang “kesakitan” akibat perang.

“Sama ada perang, konflik atau serangan pengganas, mana-mana individu yang mempercayai kemanusiaan, akan merasa sakit apabila nyawa terkorban,” kata Modi.

“Tetapi lebih daripada itu, apabila kanak-kanak yang tidak bersalah terbunuh, hati terasa pilu dan kesakitan itu sangat menggerunkan,” katanya.

Perdana Menteri India menggesa supaya perang Ukraine dihentikan melalui dialog.

“Penyelesaian tidak boleh dicapai di medan perang. Di tengah-tengah senjata, peluru dan bom, rundingan damai tidak boleh berjaya. Kita harus mencari jalan untuk damai hanya melalui perbincangan,” katanya.

Modi mengucapkan terima kasih kepada Rusia kerana membantu India dalam tempoh lima tahun lepas, yang beliau gambarkan sebagai “mencemaskan dan mencabar untuk dunia” disebabkan krisis COVID-19 diikuti konflik dan ketegangan di pelbagai wilayah.

“Ketika dunia menghadapi krisis keterjaminan makanan, bahan api dan baja, persahabatan dan kerjasama kita membantu kita dalam mencegah kesukaran seperti itu untuk petani India,” kata Perdana Menteri India itu.

Presiden Rusia memberitahu Modi bahawa “hubungan kita mempunyai sifat perkongsian strategik istimewa” dan menyatakan kepuasan dengan peningkatan perdagangan dua hala, yang meningkat 66 peratus tahun lepas, menurut laporan agensi berita TASS.

Presiden Rusia menganugerahkan darjah kebesaran tertinggi negara itu, “Order of St. Andrew the Apostle” kepada Modi atas sumbangannya terhadap hubungan India-Rusia.

Modi adalah pemimpin India pertama yang menerima anugerah ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here