MELAKA, 10 Julai – Kerajaan Melaka merancang membina empat jalan baharu bagi menyokong sistem pengangkutan laut, kata Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Hameed berkata sistem pengangkutan laut dihubungkan melalui pelabuhan dan jeti seperti Pelabuhan Tanjung Bruas di Tanjung Kling, Jeti KMB milik anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan Melaka Berhad serta pelabuhan baharu yang dirancang di kawasan Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ).

Cadangan itu membabitkan pembinaan jalan baharu dan menaik taraf jalan dari persimpangan Taman Perindustrian Bukit Rambai ke Pelabuhan Tanjung Bruas dengan kos projek berjumlah RM428.37 juta serta akan dimohon dalam Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

“Bagi kawasan SM-WEZ pula, Projek Lebuhraya Pesisir Pantai dicadangkan meliputi jajaran dalam daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah menghubungkan Kuala Linggi-Masjid Tanah-Sungai Udang-Klebang-Limbongan-Jalan Pantai-Jambatan Syed Abdul Aziz-Alai-Telok Mas ke bandar Melaka.

“Kajian kemungkinan bagi projek ini siap dilaksanakan pada 2013 membabitkan laluan sepanjang 52.3 kilometer (km) dengan anggaran kos RM3.622 bilion,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Tuminah Kadi @ Mohd Hashim (BN-Pantai Kundor) yang mahu tahu adakah kerajaan negeri menyediakan satu kajian khusus dan tindakan perlu dilakukan bagi meningkatkan lagi sistem pengangkutan jalan darat supaya selari dengan sistem pengangkutan laut.

Mengulas lanjut, Hameed berkata Fasa 1 Projek Lebuhraya Pesisir Pantai yang dimohon dalam RP5 RMK12 melibatkan cadangan membina jalan empat lorong Hatten City ke Semabok dengan anggaran kos projek RM500 juta.

Bagi menyokong Projek Lebuhraya Pesisir Pantai itu juga, kerajaan negeri bercadang menaik taraf Jalan Tun Hamzah dari persimpangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke persimpangan Semabok Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) membabitkan kos RM300 juta.

Beliau berkata projek itu mendapat kelulusan dalam RP3 RMK12 serta dalam tindakan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk proses reka bentuk jalan.

“Untuk kawasan Pelabuhan Linggi pula, kerajaan negeri bercadang membina jalan dari Kuala Linggi ke Ayer Molek, Masjid Tanah dengan nilai projek berjumlah RM125 juta mendapat kelulusan RP4 RMK12 serta dalam tindakan kerja ukur oleh JKR,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here