PHNOM PENH, 11 Julai – Perdagangan antara Kemboja dan China mencatat pertumbuhan kukuh pada separuh pertama 2024, menurut laporan rasmi yang dikeluarkan pada Rabu.

Jumlah dagangan dua hala mencecah US$7.31 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, meningkat sebanyak 18.8 peratus daripada US$6.15 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu, menurut laporan Jabatan Kastam dan Eksais Am.

Laporan itu mendedahkan bahawa China kekal sebagai rakan dagangan utama Kemboja, diikuti oleh Amerika Syarikat, Vietnam, Thailand dan Jepun.

Setiausaha Negara dan jurucakap Kementerian Perdagangan Kemboja, Penn Sovicheat berkata Perjanjian Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan Perjanjian Perdagangan Bebas Kemboja-China (CCFTA) telah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perdagangan ini.

“Di bawah dua perjanjian perdagangan bebas itu, produk kami terutamanya hasil pertanian berkualiti tinggi seperti beras, pisang, mangga, longan, ubi kayu dan lada telah dieksport ke China dengan tarif keutamaan,” katanya kepada Xinhua.

Ketua pengarah Institut Perhubungan Antarabangsa Kemboja, Kin Phea berkata bahawa Kemboja dan China telah menikmati hubungan ekonomi dan perdagangan yang kukuh selama bertahun-tahun dan skala perdagangan dua hala telah berkembang dengan stabil.

“RCEP dan CCFTA telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan dividen perdagangan.

“Peningkatan perdagangan dua hala ini telah memberi manfaat yang lebih besar kepada kedua-dua negara dan rakyatnya, serta menyuntik dorongan yang lebih kuat untuk membina komuniti Kemboja-China dengan masa depan yang dikongsi bersama,” kata Phea.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here