JAKARTA, 16 Julai – Presiden Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi, membincangkan peningkatan kerjasama dalam bidang pertahanan, rentas sempadan, perdagangan, kesihatan dan pendidikan dengan Perdana Menteri Papua New Guinea James Marape.

Dalam pertemuan di Istana Bogor di Jawa Barat pada Isnin, kedua-dua pemimpin menekankan bahawa perjanjian kerjasama pertahanan sangat penting untuk memperkuat keamanan kedua-dua negara.

“Indonesia juga menyambut baik pelaksanaan Forum Perniagaan Bersama yang kedua dan penandatanganan dua memorandum persefahaman (MoU) rentas sempadan darat untuk pengangkutan penumpang dan barang yang penting bagi meningkatkan ekonomi dan mempererat hubungan antara warga di perbatasan,” kata Jokowi.

Pada sidang media bersama, beliau juga menekankan pentingnya menyambung perbincangan “Preferential Trade Agreement” untuk meningkatkan perdagangan dua hala serta pembaharuan perjanjian kerjasama kesihatan dan penandatanganan kerjasama pendidikan.

Jokowi menegaskan kedua negara telah memulakan kerjasama pembangunan jaringan eletrik di sempadan Skouw dan Wutung yang telah dilaksanakan syarikat utiliti Indonesia PT Perusahaan Listrik Negara (Persero).

Indonesia juga komited untuk menyokong pembangunan Papua New Guinea dan negara Pasifik lain, yang berbagai program hibah dilakukan dan masih berjalan seperti pengubahsuaian hospital di Port Moresby dan pembinaan kemudahan awam di West Sepik, tambahnya.

Marape dan delegasi berada di sini sejak Ahad untuk menghadiri Dialog Tahunan Pemimpin bersama Jokowi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here