PUTRAJAYA, 18 Julai – Malaysia komited mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mempercepat pelaksanaannya melalui pendekatan strategik dan inovatif yang dirancang, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata SDG PBB sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI Malaysia yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan menstruktur semula ekonomi negara.

“Kita mesti mengelakkan jurang antara golongan kaya dan miskin dalam bandar. Kita tidak boleh membenarkan sebahagian bandar kita diduduki oleh golongan miskin dan sebahagian lagi golongan kaya,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara di Forum Politik Peringkat Tinggi sempena Perhimpunan Agung PBB di New York, semalam.

Nga turut menyentuh tentang matlamat kerajaan untuk memperkasakan dan mempercepat transformasi ekonomi negara, mempergiat aktiviti perdagangan serta meningkatkan produktiviti serta harapan mencapai matlamat sifar miskin tegar menjelang 2025.

“Sejak Februari tahun lepas, kerajaan telah melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat untuk membantu golongan miskin tegar, golongan miskin dan kumpulan pendapatan rendah untuk menghasilkan pendapatan yang mampan dan tidak hanya bergantung kepada bantuan tunai langsung.

“Kerajaan juga telah mengambil tindakan berani dan luar biasa bulan lepas selepas beberapa dekad dengan mengalih bantuan subsidi bahan api diesel daripada pendekatan umum kepada pendekatan bersasar,” katanya sambil menambah kerajaan mewujudkan Pangkalan Data Utama (PADU) bagi memastikan bantuan bersasar disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Nga turut menyeru semua negara ahli PBB untuk menyokong gencatan senjata di semua kawasan konflik dan berganding bahu menyelamatkan nyawa yang terjejas oleh peperangan.

 Forum dengan tema ‘Memperkukuh Agenda 2030 dan Membanteras Kemiskinan Di Tengah-Tengah Pelbagai Krisis’ itu berperanan sebagai platform untuk menjejaki pelaksanaan dan pencapaian SDG  dan menyaksikan kehadiran seramai 153 ketua negara dan 17 organisasi antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here