JOHOR BAHRU, 2 Ogos – Sejumlah 100,000 kenderaan dari Singapura dijangka mendaftar Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) berikutan penguatkuasaan peraturan itu pada 1 Okt depan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sejak pengumuman penguatkuasaan VEP pada 28 Mei lepas, pihaknya menerima 58,791 permohonan baharu daripada pemilik kenderaan dengan pendaftaran Singapura menerusi kaunter dan secara dalam talian.

Beliau berkata 19,640 permohonan telah selesai diproses, 11,435 permohonan sedang dalam proses dan kira-kira 40 peratus permohonan gagal kerana dokumen tidak lengkap.

Loke berkata Kementerian Pengangkutan menjangkakan menerima 50,000 lagi permohonan baharu dalam tempoh dua bulan terakhir ini sebelum penguatkuasaan peraturan berkenaan.

“Sistem ini telah tersedia sejak 2019 dengan peruntukan berjumlah lebih RM100 juta, namun ketika itu penggunaannya masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya,” katanya dalam sidang media selepas meninjau operasi Pusat Pungutan VEP (VCC) di Danga Bay di sini hari ini.

— LAGI

LOKE-VEP 2 (AKHIR) JOHOR BAHRU 

Beliau berkata dianggarkan 18,000 kenderaan Singapura memasuki Malaysia melalui Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) setiap hari, namun hanya sekitar 10 hingga 15 peratus telah mendaftar VEP.

Menurut Loke, penguatkuasaan VEP bukan bertujuan menghalang warga republik itu memandu kenderaan peribadi ke negara ini, sebaliknya untuk memastikan undang-undang tempatan dipatuhi.

“Kita memang galakkan mereka masuk dan berbelanja di sini, namun perlu ikut peraturan tempatan. Sistem ini untuk pastikan maklumat setiap kenderaan yang masuk ke negara ini termasuk saman tertunggak kenderaan itu,” katanya.

Pada 28 Mei lepas, Loke mengumumkan peraturan VEP di sempadan darat Malaysia-Singapura dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Okt bagi memastikan pemilik kenderaan asing mematuhi peraturan jalan raya. 

Loke berkata selepas tempoh itu, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan terhadap mana-mana pemandu yang memandu kenderaan asing tanpa VEP selaras Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here