KUCHING, 6 Ogos – Pihak Polis akan melaksanakan penutupan dan lencongan jalan sementara serta berperingkat di sekitar lokasi acara perlumbaan berbasikal Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung dari 14 hingga 17 Ogos ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dalam kenyataan hari ini berkata perlumbaan itu akan bermula dan tamat di Politeknik Kuching di Matang di sini dan litar perlumbaan melibatkan jalan akses politeknik berkenaan.

Laluan perlumbaan itu turut melibatkan Jalan Pehin Sri Adenan Satem-Jalan FAC, Jalan Kampung Ulu Selang-Persimpangan Lampu Isyarat Telaga Air, Persimpangan Lampu Isyarat Kopodims dan Persimpangan Lampu Isyarat Matang Jaya.

“Orang awam boleh memilih laluan alternatif untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas pada 14-17 Ogos dan merancang masa perjalanan masing-masing semasa hari perlumbaan tersebut berlangsung,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai untuk mematuhi arahan anggota polis yang bertugas dan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi arahan itu.

Mancha berkata jadual acara dan lokasi lencongan juga boleh didapati di laman Facebook Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Trafik Sarawak, sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada bilik gerakan JSPT Sarawak di talian 082-274259.

Orang ramai juga boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Padawan di 082-862643 pada waktu pejabat atau Urusetia SUKMA 2024 di talian 082-495555.

“Kerjasama daripada semua pihak amat diharapkan bagi melancarkan perlumbaan berbasikal SUKMA ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here