KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Ekspo Perdagangan Perkhidmatan Jiangsu China 2024 yang disertai lebih dari 100 pempamer daripada sektor perdagangan perkhidmatan, perusahaan, universiti dan kolej buka tirai di Kuala Lumpur pada hari Jumaat.

Ekspo ini dirasmikan oleh Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Jiang Xin, Timbalan Pengarah Jabatan Perdagangan Wilayah Jiangsu, Sun Shuqiang, Menteri Kaunselor Pejabat Ekonomi dan Komersial Kedutaan China di Malaysia dan Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan,  Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia.

Ekspo tiga hari ini bermula 9 Ogos hingga 11 Ogos , bertemakan “Berkongsi Perkhidmatan, Menabur Kejayaan” disenggarakan oleh Jabatan Perdagangan Wilayah Jiangsu dan dianjur bersama oleh Majlis Perniagaan Malaysia-China, Dewan Perniagaan Malaysia-China, Persatuan Usahawan Cina Malaysia (PUCM) dan Persatuan Perniagaan Usahawan Jiangsu Malaysia.

Sebanyak tujuh pameran diadakan meliputi ruang seluas 5,000 meter persegi, iaitu pameran mengenai Perkhidmatan Digital, Keistimewaan Kebudayaan Jiangsu, Perubatan Tradisional Cina, Gastronomi dan Pelancongan Antarabangsa, Harta Intelek, Pendidikan Antarabangsa dan Perkhidmatan Perniagaan.

Pada masa yang sama, pelbagai aktiviti seperti padanan perdagangan digital Jiangsu-Malaysia, padanan perkhidmatan perubatan tradisional Cina, tayangan filem dan animasi terbaik di Jiangsu, persembahan kebudayaan ritual Cina dan persembahan kebudayaan berciri Jiangsu juga diadakan.

Wilayah Jiangsu, yang terletak di pantai timur, merupakan salah satu pusat kewangan, pendidikan, tekonologi dan pelancongan terkemuka di China dengan pusat pentadbiran di Nanjing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here