CANBERRA, 13 Ogos – Kerajaan Australia mengumumkan rancangan untuk melancarkan sistem pengenalan diri digital terkemuka di dunia.

Menteri Perkhidmatan Kerajaan, Bill Shorten pada Selasa berkata bahawa rakyat Australia akan dapat menggunakan program Trust Exchange (TEx) untuk mengesahkan identiti dan kelayakan mereka secara digital melalui kod QR pada aplikasi myGov yang sedia ada menjelang akhir tahun 2024.

Dalam ucapannya kepada National Press Club di Canberra, beliau berkata bahawa sistem ini akan menghapuskan keperluan untuk menyerahkan dokumen sensitif seperti pasport atau lesen memandu, memberi rakyat Australia lebih kawalan ke atas maklumat peribadi yang mereka kongsikan.

Pada peringkat Pembuktian Konsep (PoC), teknologi ini akan menyimpan maklumat yang sudah dikekalkan oleh kerajaan termasuk tarikh lahir pengguna, alamat, status kewarganegaraan atau visa.

Shorten menyifatkan ia sebagai platform ID digital terkemuka di dunia dan berharap ia menjadi penanda aras untuk perlindungan data.

Sistem ini boleh digunakan ketika memohon pekerjaan, mendaftar di hotel atau di tempat-tempat yang mengenakan had umur, katanya.

“Apapun keadaannya, sama ada dalam talian atau secara peribadi, anda memilih apa yang dikongsi, anda memberi kebenaran untuk dikongsi dan anda boleh yakin ia selamat,” katanya.

Maklumat berkaitan perkongsian data itu akan tersedia dalam sistem myGov bagi rujukan pengguna.

Pelaksanaan TEx akan dikendalikan oleh Services Australia dan akan bekerjasama dengan sistem kerajaan yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here