NAYPYIDAW, 15 Ogos – Myanmar komited meletakkan keutamaan pada hubungannya dengan China, mengukuhkan persahabatan kedua-dua negara, konsisten dalam mengamalkan prinsip Satu China selain berperanan sebagai jiran yang boleh dipercayai.

Pemimpin Myanmar Min Aung Hlaing dalam pertemuan dengan Menteri Luar China Wang Yi di sini pada Rabu berkata bersempena ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik Myanmar-China pada tahun depan, kedua-dua negara diharap boleh terus menyuburkan persahabatan tradisional dan menaiktaraf hubungan bilateral melalui penganjuran aktiviti  perayaan.

Menurut Min Aung Hlaing, pihaknya menghargai peranan konstruktif yang dimainkan oleh China dalam mendorong proses damai di utara Myanmar, dan berharap Beijing terus menyokong usaha menjaga kestabilan domestik dan mencapai perdamaian melalui saluran politik.

“Myanmar sanggup terus bekerjasama dengan China dalam usaha membanteras jenayah transnasional membabitkan perjudian dalam talian dan penipuan menerusi telekomunikasi,” kata beliau.

Sementara itu, Wang Yi berkata China melaksanakan dasar persahabatan demi manfaat seluruh rakyat Myanmar, tidak mencampuri hal ehwal dalaman dan menghormati tradisi politik Myanmar serta pilihannya dalam melakukan pembangunan mengikut acuan sendiri.

“China menyokong usaha yang dibuat Myanmar dalam memelihara kemerdekaan, kedaulatan, penyatuan negara dan keutuhan wilayah, mengusahakan pembangunan ekonomi, mendorong “Peta Garisan dari Lima Segi” dalam kerangka Perlembagaan, mewujudkan perdamaian secara politik, dan memulihkan proses transformasi demokrasi demi pencapaian landskap keamanan yang berkekalan.

“Sebagai jiran baik, China enggan melihat Myanmar terperangkap dalam rusuhan dan peperangan, dan menentang campur tangan kuasa luar serta sebarang kenyataan serta tindakan yang berniat merenggangkan hubungan China-Myanmar dan memfitnah China,” kata Wang.

Beliau berkata China juga bersedia memperdalam kolaborasi dengan Myanmar dalam pelbagai bidang, seperti mempercepat pelaksanaan projek mega pembangunan bersama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Koridor Ekonomi China-Myanmar, meningkatkan kecekapan dalam mengendalikan saluran paip petroleum dan gas asli kedua-dua negara serta membantu Myanmar menambah baik hidup rakyat.

“China dan Myanmar diharap dapat mencapai lebih banyak hasil yang ketara dalam membentuk komuniti berkongsi nasib kedua-dua negara,” tambah beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here