TAIPEI, 16 Ogos – Gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter melanda timur Taiwan pada Jumaat, 34 kilometer (km) dari bandar Hualien, kata Pusat Pentadbiran Cuaca (CWA) pulau itu.

Setakat ini, tiada laporan diterima mengenai kerosakan akibat gempa besar kedua yang melanda pulau itu dalam tempoh kurang sehari.

Gempa bumi menggegarkan bangunan di ibu kota Taipei. Pihak berkuasa berkata perkhidmatan kereta api bawah tanah di bandar itu diteruskan pada kelajuan yang lebih rendah.

Kata pentadbiran cuaca, gempa itu berlaku sekitar 7.35 pagi (2335 GMT) pada kedalaman 15km, menyusuli gempa bumi berukuran magnitud 5.7 yang melanda pantai timur laut Taiwan pada lewat Khamis.

Sementara itu, Pemantau Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa bumi magnitud 6.1 melanda pantai timur Taiwan pada pagi Jumaat berbanding ukuran 6.3 dilaporkan CWA pulau itu.

CWA juga mengeluarkan amaran telefon mudah alih yang memberi amaran kepada orang ramai supaya ‘bertenang dan mencari perlindungan berdekatan’. 

Agensi Bomba Kebangsaan Taiwan mengeluarkan kenyataan mengesahkan ‘tiada laporan kerosakan’ sekitar jam 8 pagi. 

Pulau ini sering mengalami gempa bumi kerana kedudukannya di antara dua plat tektonik. 

Gempa besar terakhir berlaku pada awal April, apabila ia dilanda gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang dikatakan oleh pegawai sebagai yang paling kuat dalam 25 tahun. 

Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan 900 cedera dalam gempa itu, yang mencetuskan tanah runtuh dan bangunan rosak teruk di sekitar pusat gempa berhampiran Hualien.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here