KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pelabur asing kembali ke Bursa Malaysia berikutan jualan besar-besaran pada minggu sebelumnya, mencatat pembelian bersih ekuiti Malaysia berjumlah RM299.6 juta, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).

Menerusi laporan aliran dana bagi minggu berakhir 16 Ogos, MIDF berkata walaupun pelabur asing mencatat jualan bersih RM74.3 juta pada Isnin, mereka adalah pembeli bersih untuk tempoh berbaki minggu berkenaan.

“Jumaat merupakan hari paling kukuh dalam pembelian bersih dengan merekodkan RM288.3 juta.

“Tiga sektor teratas yang menarik pembelian bersih daripada pelabur asing minggu lepas adalah perkhidmatan kewangan (RM620.6 juta), telekomunikasi dan media (RM93.9 juta), dan pengangkutan dan logistik (RM40.8 juta),” katanya.

Sementara itu, tiga sektor teratas yang menyaksikan penjualan bersih oleh pelabur asing adalah teknologi (RM143.8 juta), hartanah (RM113.3 juta), dan produk dan perkhidmatan perindustrian (RM100.7 juta).

Pelabur institusi tempatan adalah pembeli bersih pada Isnin berjumlah RM55.7 juta, sebelum beralih kepada jualan bersih untuk sepanjang minggu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here