PUTRAJAYA, 20 Ogos – Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) diperkenalkan hari ini sebagai anjakan besar dalam membawa pembangunan Bumiputera ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata selaras peredaran masa, negara memerlukan satu pelan baharu yang akan memacu agenda Bumiputera ke tahap yang lebih baik serta lebih jelas.

“Negara harus dipacu dengan tahap kelajuan yang lebih meyakinkan dan dalam masa sama, negara masih bertapak kepada kenyataan bahawa pemacuan ini tidak harus meminggirkan mana mana pihak.

“Kerangka pemikiran bahawa pemacuan ekonomi itu harus bersama dengan penyertaan seluruh rakyat tanpa meminggirkan mana-mana suku kaum atau wilayah. Apa lagi negara kian besar dari Perlis sampai Sarawak,” katanya ketika berucap meluncurkan PuTERA35 di sini, hari ini.

PuTERA35 diperkenal bagi mengangkat darjat dan martabat Bumiputera agar sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI iaitu Memperkasa Rakyat serta dijajarkan dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030) yang akan membolehkan rakyat Malaysia menikmati kehidupan lebih berkualiti.

PuTERA35 menggarap tiga teras utama iaitu Memperkukuh Pasak Ekonomi Negara; Memperteguh Kerukunan Tatakelola dan Institusi serta Menegakkan Keadilan Sosial.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here