BEIJING, 21 Ogos – Institut Teknologi Harbin (HIT) Kampus Weihai yang terletak di Provinsi Shandong dipilih sebagai pusat Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) yang pertama di China selepas mendapat kelulusan dari Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

Kelulusan ini diberikan selepas HIT lulus tahap pemeriksaan spesifikasi pusat ujian MUET oleh MPM, yang dilaksanakan sendiri oleh delegasi MPM yang diketuai oleh Ketua Eksekutifnya, Adnan Husin.

Surat kelulusan turut diserahkan oleh Ketua Eksekutif MPM, Adnan Husin kepada Penolong Presiden HIT Kampus Weihai, Prof Dr. Qian Hongliang. Dengan penyerahan surat kelulusan tersebut, HIT secara rasmi menjadi pusat ujian MUET pertama di China.

Inisiatif pembukaan pusat ujian MUET ini merupakan hasil kerjasama antara MPM dengan Pejabat Pendidikan Malaysia Beijing (EMB) serta rakan strategik MPM di Malaysia, iaitu Malaysia Edu-Cultural Association (MECA).

Adnan Husin dalam ucapannya berkata, MPM telah mengenalpasti prospek perlaksanaan MUET di China sejak tahun 2019. Justeru, sebagai usaha untuk menerobos pasaran di China, MPM mengambil inisiatif bekerjasama dengan EMB dan menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan beberapa rakan strategik di Malaysia.

“Kejayaan pembukaan pusat ujian MUET ini merupakan satu pencapaian MPM ke arah mengembangkan lagi pemasaran MUET sebagai produk Malaysia yang bertaraf antarabangsa ke negara China.”

“Inisiatif ini juga selari dengan peningkatan jumlah pelajar China yang sedang menuntut di Malaysia dengan catatan jumlah lebih 40,000 orang pada tahun 2023.”

MUET yang diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 1999, turut akan menjadi salah satu pilihan ujian kemahiran Bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa, untuk diduduki oleh pelajar di negara Tembok Besar ini sekiranya mereka berhasrat untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia.

Sementara itu, Pengarah EMB, Muhammad Salehuddin Mohd Dilif ketika berucap pada majlis sama berkata HIT Kampus Weihai, Shandong dipilih bertepatan dengan kedudukannya sebagai antara 10 universiti terbaik yang dikelaskan dalam Projek 211, Projek 985 dan Projek Liga C9 oleh kerajaan China, ke arah pengantarabangsaan pendidikan tinggi di negara ini.

Selain itu, pembukaan pusat ujian MUET ini juga menjadi simbol pengukuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara bagi menyemarakkan lagi sambutan Ulang Tahun ke-50, khususnya diplomasi pendidikan Malaysia dan China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here