BRUSSELS, 21 Ogos – Kesatuan Eropah (EU) meluluskan subsidi negara bernilai €5 bilion (US$5.56 bilion) dari Jerman bagi menyokong pembinaan dan operasi kilang pembuatan semikonduktor baharu, menurut Suruhanjaya Eropah pada Selasa.

Kemudahan itu yang dikenali sebagai European Semiconductor Manufacturing Company, akan ditempatkan di bandar Dresden, timur Jerman.

Ia dijangka mencapai kapasiti operasi penuh menjelang 2029, dengan pengeluaran tahunan sebanyak 480,000 wafer silikon.

Menurut Suruhanjaya Eropah, kilang ini akan menghasilkan cip menggunakan wafer silikon 300 mm, dengan saiz nod antara 28/22 hingga 16/12 nanometer, terutamanya untuk aplikasi automotif dan perindustrian.

Projek ini selaras dengan rancangan EU untuk menggandakan bahagian pasaran semikonduktor  globalnya kepada 20 peratus menjelang 2030, seperti yang digariskan dalam Akta Cip Eropah.

Sektor automotif Eropah terjejas teruk dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini akibat kekurangan semikonduktor hingga menjejaskan kapasiti industri itu.

Suruhanjaya Eropah memperkenalkan Akta Cip EU pada 2022 dengan tujuan mengumpul lebih daripada €43 bilion daripada pelaburan awam dan swasta.

Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan Eropah terhadap import semikonduktor dan membolehkan Eropah bertindak balas dengan lebih cepat terhadap sebarang masalah dalam rantaian bekalan. (1 euro = US$1.11).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here