JAKARTA, 22 Ogos – Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto dan Menteri Tenaga Manusia Singapura Tan See Leng mengadakan pertemuan di sini pada Rabu untuk membincangkan kerjasama dua hala dalam bidang teknologi dan pembangunan sumber manusia.

Dalam pertemuan yang diadakan di luar Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC), Airlangga dan Tan memberi tumpuan kepada Program Tech:X yang bertujuan menyediakan peluang pertukaran profesional muda dalam bidang teknologi antara kedua-dua negara, lapor Agensi Berita Indonesia (Antara).

Menurut Menteri Indonesia itu, kedua-dua negara sebelum ini telah menandatangani Perjanjian Teknikal mengenai Program Tech:X Indonesia-Singapura pada 7 Jun lepas dan kini sedang menyediakan projek perintis untuk memulakan program itu.

Pada kesempatan itu, beliau juga melahirkan harapan agar Indonesia dan Singapura dapat membawa projek kerjasama mereka ke tahap yang lebih tinggi, sambil menekankan kerjasama pendidikan dan pembangunan kapasiti sumber manusia dalam pembuatan semikonduktor.

“Indonesia berhasrat untuk melahirkan bakat berkualiti tinggi yang dilengkapi dengan kemahiran berkaitan bidang mikroelektronik dalam usaha mewujudkan ekosistem domestik yang sesuai untuk semikonduktor. Saya menjemput Singapura untuk menyokong Indonesia dalam usaha ini,” kata Airlangga.

Beliau juga menyatakan minat Indonesia untuk memperluas kerjasama dengan Singapura dalam sektor tenaga dan pembangunan kabel dasar laut, terutamanya di kawasan Batam, Bintan dan Karimun.

Kedua-dua menteri turut membincangkan mesyuarat AZEC dan acara berkaitan, Enam Kumpulan Kerja Ekonomi Dua Hala Singapura-Indonesia, penyertaan Indonesia dalam Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta penyertaan Indonesia dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Singapura merupakan satu daripada rakan penting Indonesia dalam bidang pelaburan dan perdagangan. 

Pada 2023 sahaja, nilai pelaburan dari Singapura melepasi US$15 bilion, merangkumi kira-kira 30 peratus daripada jumlah pelaburan asing yang diperoleh Indonesia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here