ANKARA, 22 Ogos – Kerajaan Australia pada Rabu meluluskan projek  tenaga solar industri besar-besaran di kawasan terpencil, utara negara itu yang digambarkan sebagai “kawasan solar terbesar di dunia”.

Projek SunCable bernilai A$20 bilion (US$24 bilion) itu dijangka akan menjana tenaga mencukupi untuk memenuhi keperluan elektrik 3 juta rumah.

“Ia akan menjadi kawasan solar terbesar di dunia – dan menobatkan Australia sebagai pemimpin dunia dalam tenaga hijau,” kata Menteri Alam Sekitar Tanya Plibersek.

Projek Australia-Asia Power Link seluas 12,000 hektar itu akan membantu mengubah Australia menjadi kuasa besar tenaga boleh diperbaharui, tambah menteri itu.

Projek itu yang disokong jutawan teknologi dan aktivis alam sekitar, Mike Cannon-Brookes merangkumi panel, bateri dan kabel dasar laut sepanjang 4,300km yang menghubungkan Australia dengan Singapura.

Projek ini bertujuan untuk membekalkan sehingga 6GW tenaga boleh diperbaharui kepada pelanggan industri berskala besar di Darwin, Australia Utara dan Singapura.

Dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan SunCable Australia, Cameron Garnsworthy berkata: “SunCable kini akan menumpukan usahanya pada peringkat perancangan seterusnya untuk memajukan projek ke arah keputusan pelaburan akhir yang disasarkan menjelang 2027.”

SunCable akan melabur lebih lanjut dalam komuniti di Wilayah Utara, Singapura dan Indonesia untuk memajukan fasa seterusnya, tambah Garnsworthy.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here