BEIJING, 24 Ogos – Sesi Kelima Jawatankuasa Bersama Kolaborasi Dua Hala China-Indonesia yang dipengerusikan oleh Menteri Luar China, Wang Yi dan rakan sejawatnya dari Indonesia, Retno Lestari Priansari Marsudi telah diadakan di Beijing pada Jumaat.

Menurut Wang Yi, usaha China dalam mempercepat pembangunan berkualiti dan meningkatkan tahap keterbukaan akan membawa peluang baharu kepada kolaborasi bilateral dan pembangunan serantau. 

“Kedua-dua negara diharap merancakkan pertukaran di peringkat tinggi dan mempererat interaksi strategik, terus memupuk rasa saling percaya dalam bidang strategi dan menyokong kepentingan teras milik negara masing-masing, memperluas kerjasama menang-menang, meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan strategi pembangunan, bertindak pantas menaiktaraf kerjasama dalalm kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), meningkatkan kebersamaan dalam kalangan rakyat, memudahkan pertukaran keanggotaan, dan menggalakkan interaksi di kalangan pemuda, kumpulan pemikir dan warga media,” ujar Wang.

Retno berkata, Indonesia berusaha mengembangkan hubungan dengan China, salah satu rakan strategik yang penting baginya, dan bersedia bersama dengan China mempererat kolaborasi pelbagai hala, mengamalkan multilateralisme dan memperkasakan kerjasama Selatan-Selatan.

Kedua-dua pihak komited memastikan laluan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung beroperasi dalam suasana yang aman dan stabil, sekaligus mempercepat pembinaan “Koridor Ekonomi Bersepadu Serantau” dan “Taman Kembar Dua Negara”, meneroka potensi kerjasama dalam bidang kenderaan elektrik bateri (BEV), bateri lithium, fotovoltaik dan ekonomi digital, di samping memperluas kolaborasi dalam pelaburan dua hala, produk pertanian dan makanan serta sosiobudaya.

Sementara itu, kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pendapat mengenai isu Myanmar dan konflik di Genting Gaza.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here