KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Johor, Selangor dan Pulau Pinang mendominasi eksport Malaysia, menyumbang 70.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pada Julai 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi eksport bernilai RM131.1 bilion pada Julai 2024, meningkat sebanyak RM14.4 bilion atau 12.3 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM5.2 bilion), Selangor (+RM2.3 bilion), Pulau Pinang (+RM1.9 bilion), Sarawak (+RM1.8 bilion), Kuala Lumpur (+RM1.3 bilion).

“Peningkatan eksport itu susulan sumbangan lebih tinggi daripada negeri lain termasuk Perak (+RM1.2 bilion), Terengganu (+RM1.0 bilion), Kedah (+RM457.7 juta), Negeri Sembilan (+RM105.2 juta), Melaka (+RM63.9 juta) dan Pahang (+RM59.0 juta), katanya dalam kenyataan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Julai 2024 diterbitkan DOSM hari ini,

Bagaimanapun, nilai eksport menurun di Labuan sebanyak RM1.1 bilion, Sabah (-RM150.4 juta), Perlis (-RM34.8 juta) dan Kelantan (-RM26.3 juta).

Mengenai prestasi import, Mohd Uzir Mahidin berkata import pada Julai 2024 meningkat RM25.3 bilion (+25.4%) berbanding bulan sama pada 2023, peningkatan itu disebabkan import lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM8.4 bilion), Johor (+RM5.6 bilion), Selangor (+RM5.4 bilion), Kedah (+RM2.3 bilion), W.P. Kuala Lumpur (+RM1.5 bilion),

“Peningkatan ketara dalam import turut direkodkan daripada Melaka (+RM440.6 juta), Perak (+RM380.8 juta), Sarawak (+RM138.6 juta), Kelantan (+RM81.2 juta), Negeri Sembilan (+RM64.8 juta), Perlis (+RM60.9 juta), Terengganu (+RM55.6 juta) dan Pahang (+RM26.7 juta).

“Bagaimanapun, nilai import merosot di Sabah sebanyak RM43.7 juta dan Labuan (-RM36.8 juta),” katanya.

Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM255.9 bilion pada Julai 2024 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM131.1 bilion dan RM124.7 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here