BUKIT MERTAJAM, 30 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan penekanan terhadap penguasaan tiga subjek utama pendidikan iaitu Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris bagi menyokong pembangunan negara.

Beliau berkata penguasaan ketiga-tiga subjek itu amat mendesak berikutan perubahan dalam bidang kurikulum dengan kewujudan cabang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), transisi tenaga hijau, teknologi digital dan media sosial.

Menteri Kewangan itu menjelaskan penguasaan subjek tersebut dalam kalangan pelajar harus seiring dengan penggunaan Bahasa Melayu selain menitikberatkan soal akhlak yang merangkumi nilai-nilai baik seperti hormat-menghormati.

“Menguasai bahasa kebangsaan dengan baik sesuai dengan peredaran zaman dan menguasai Bahasa Inggeris dengan baik terutamanya dengan perkembangan teknologi dan pengetahuan baharu (juga) adalah penting.

“Anda (pelajar) mesti juga memastikan Bahasa Inggeris memiliki penguasaan yang kuat. Bahasa Melayu harus dimantapkan manakala Bahasa Inggeris harus dikembangkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Kunjungan Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam atau lebih dikenali sebagai High School Bukit Mertajam (HSBM) di sini hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here