KUALA LUMPUR, 7 Nov — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan kerajaan bekerjasama dengan blok pembangkang dalam perkara penting yang melibatkan negara terutamanya dalam soal ekonomi dan cara menangani COVID-19.

Beliau berkata kerajaan mengamalkan sikap inklusif dalam menerima pandangan semua pihak dan bersedia mengambil kira pandangan berkenaan.

Katanya sesi rundingan antara Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam merangka Belanjawan 2021 sebelum ini juga merupakan satu permulaan yang baik.

“Jadi bagi saya ini satu langkah permulaan, saya berfikir untuk satu peringkat lain saya nak mempelawa pembangkang untuk sama-sama duduk dalam katalah Majlis Tindakan Ekonomi yang saya pengerusikan tiap-tiap minggu ini soal ekonomi.

Ataupun (kerjasama dalam) nak menguruskan masalah (mesyuarat) COVID-19 yang saya pengerusikan setiap hari,” katanya dalam satu program bual bicara Agenda Awani yang disiarkan malam ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata kerjasama itu juga baik dalam mencari penyelesaian terbaik dalam menyelesaikan sebarang isu atau masalah berbangkit.

“(Sekiranya) Langkah-langkah yang kita ambil kalau mereka (pembangkang) kata tidak berkesan (mereka boleh kemukakan) apa cadangan mereka untuk buat ia berkesan.

(Ini) Bukan soal nak dapat kredit pada mereka sahaja tetapi untuk rakyat dapat faedah. Pendekatan baharu ini lebih sesuai untuk masa ke hadapan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau juga bersedia mengambil pendekatan serupa atau dwipartian dalam hal politik, Muhyiddin berkata semua perkara haruslah dilakukan secara berperingkat.

“Dia mesti berperingkat dan berhati-hati, tapi paling pokok sekarang adalah masalah yang rakyat hadapi dan bukan masalah politik atau kepartian.  Itu (politik) memang ada dalam agenda kita tapi yang penting ialah COVID-19 dan pemulihan ekonomi,” katanya.

 Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Belanjawan 2021 tidak mempunyai impak lonjakan yang berkesan bagi memulihkan ekonomi negara, Muhyiddin berkata beliau terbuka menerima pandangan dan input semua pihak.

Katanya ekonomi negara juga diunjur kembali pulih antara 6.5 hingga 7.5 peratus pada 2021 berbanding jangkaan pertumbuhan antara -3.5 hingga -5.5 peratus tahun ini.

“Jadi bila (Anwar) mengatakan tidak ada lonjakan, daripada minus (unjuran tahun ini) kepada positif 6.5 atau 7.5 peratus (tahun depan) itu satu lonjakan besar kerana bukan semua negara akan menghadapi keadaan sebegitu.

Ada sesetengah negara (dijangka) akan lebih teruk daripada itu. Ekonomi mereka hampir punah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here