DHAKA, 13 Sept – Penasihat Utama kerajaan sementara Bangladesh Muhammad Yunus mengumumkan rancangan untuk merombak sektor-sektor kritikal negara sebagai sebahagian daripada usaha melindungi kedaulatan undang-undang dan mengukuhkan ekonomi.

Yunus mengumumkan penubuhan enam suruhanjaya yang didedikasikan untuk merombak sistem kehakiman, sistem pilihan raya, pentadbiran, polis, suruhanjaya anti-rasuah dan perlembagaan.

Pembaharuan itu bertujuan untuk menangani isu-isu yang telah lama berlarutan serta menyokong pembangunan negara di tengah-tengah cabaran semasa, lapor Xinhua.

Beliau membuat pengumuman itu dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen kepada negara pada malam Rabu, menandakan bulan pertama pembentukan kerajaan sementara sejak 8 Ogos selepas Sheikh Hasina, Perdana Menteri ketika itu, melarikan diri ke India pada 5 Ogos.

Menurut Yunus, suruhanjaya-suruhanjaya itu dijangka memulakan tugas pada 1 Oktober dan selesai dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Yunus berkata bahawa pembaharuan pentadbiran polis, pentadbiran awam, sistem kehakiman, suruhanjaya antirasuah, bersama dengan suruhanjaya pilihan raya adalah penting untuk memastikan pilihan raya akan datang dijalankan dengan bebas dan adil.

“Saya percaya pembaharuan ini juga akan menyumbang kepada penubuhan sistem negara yang dimiliki rakyat, bertanggungjawab dan berorientasikan kebajikan,” kata Yunus.

Beliau menyeru seluruh rakyat untuk membawa pembaharuan dalam bidang masing-masing.

“Inilah tanggungjawab kita semua. Bawalah perubahan dalam dunia anda sendiri. Pembaharuan negara tidak boleh hanya dilakukan oleh kerajaan,” kata Penasihat Utama itu.

Yunus berkata berdasarkan laporan suruhanjaya-suruhanjaya itu, kerajaan sementara akan menganjurkan perbincangan dengan parti-parti politik utama pada fasa seterusnya.

Pada peringkat akhir, rundingan komprehensif akan diadakan selama tiga hingga tujuh hari dengan wakil-wakil dari badan pelajar, masyarakat sivil, parti politik dan kerajaan.

Yunus menegaskan bahawa kerajaan bertekad untuk mewujudkan kerangka demokrasi untuk negara.

Beliau juga mengulangi bahawa kerajaannya mahu menjalin hubungan baik dengan negara-negara jiran, dan hubungan itu perlu berdasarkan keadilan dan kesaksamaan.

Terdahulu pada Rabu, Bank Pusat Bangladesh, Bangladesh Bank mengeluarkan notis mengenai pembentukan pasukan petugas enam anggota untuk memastikan kestabilan sektor perbankan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here