KIGALI, 14 Sept – Presiden Senegal Bassirou Diomaye Faye membubarkan Dewan Negara yang dikuasai pembangkang pada Khamis, dalam usaha meredakan ketegangan antara badan perundangan dan eksekutif, lapor agensi berita Anadolu. 

Dalam ucapan kepada negara, Faye berkata pilihan raya awal akan diadakan pada 17 Nov tahun ini. 

“Dengan kuasa yang diberikan kepada saya melalui Perkara 87 Perlembagaan, dan selepas berunding dengan Majlis Perlembagaan mengenai tarikh yang sesuai serta Perdana Menteri dan Yang Dipertua Dewan Negara, saya membubarkan Dewan Negara,” katanya. 

Langkah ini diambil enam bulan selepas Faye dipilih di bawah platform pembangkang. 

Beliau berkata badan perundangan yang dikuasai pembangkang telah menyukarkan beliau melaksanakan transformasi sistemik yang dijanjikan semasa kempen pilihan raya. 

Beliau meminta pengundi agar memberikan mandat kepada parti Patriots of Senegal for Work, Ethics and Fraternity (PASTEF) yang dipimpinnya. 

Dewan Parlimen yang dibubarkan itu dipilih pada 2022, didominasi oleh anggota gabungan Benno Bokk Yakaar (United in Hope) yang dipimpin bekas Presiden Macky Sall. 

Ketegangan antara badan eksekutif dan perundangan dilaporkan baru-baru ini selepas Ahli Parlimen pembangkang membatalkan perbahasan bajet dan mengancam untuk membentangkan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan. 

Kumpulan Parlimen Benno Bokk Yakaar mengkritik pembubaran itu sambil mendakwa ia bertujuan mengelak daripada pembentangan usul tidak percaya terhadap kerajaan oleh majoriti Parlimen. 

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu menuduh Presiden Faye dan Perdana Menteri Ousmane Sonko memanipulasi institusi untuk kepentingan politik mereka. 

“Pembubaran ini adalah percubaan terang-terangan untuk menutup mulut pembangkang dan mengelak sebarang perdebatan demokratik mengenai pengurusan negara,” kata presiden kumpulan itu, Abdou Mbow.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here