WASHINGTON, 14 Sept – Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat pada Khamis mengumumkan sekatan terhadap 16 pegawai Venezuela yang “bersekutu dengan” Presiden Nicolas Maduro berhubung dakwaan penipuan dalam pilihan raya presiden Julai yang menjadi pertikaian.

Pentadbiran di Washington menuduh individu-individu terbabit menghalang proses pilihan raya presiden yang kompetitif dan inklusif di Venezuela serta melanggar hak sivil dan hak asasi manusia.

Sekatan itu membabitkan wakil-wakil utama Majlis Pilihan Raya Kebangsaan, Mahkamah Agung dan Dewan Negara.

“Hari ini, Amerika Syarikat mengambil tindakan tegas terhadap Maduro dan wakilnya atas penindasan terhadap rakyat Venezuela serta penafian hak rakyat mereka untuk pilihan raya yang bebas dan adil.

“Jabatan Perbendaharaan menyasarkan pegawai-pegawai utama yang terlibat dalam dakwaan penipuan kemenangan Maduro, serta tindakan kerasnya terhadap kebebasan bersuara selepas pilihan raya, ketika majoriti rakyat Venezuela menuntut perubahan,” kata Timbalan Setiausaha Perbendaharaan Wally Adeyemo.

Maduro memerintah negara itu sejak 2013, memperoleh penggal ketiga dalam pilihan raya pada 28 Julai selepas suruhanjaya pilihan raya negara mengisytiharkan kemenangannya.

Kerajaan tidak menyediakan sebarang kiraan undi yang kukuh bagi menyokong kemenangan Maduro.

Pihak pembangkang mendakwa kemenangan berpihak kepada calon mereka, bekas diplomat Edmundo González yang kini berada di Sepanyol selepas pihak berkuasa Venezuela mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

González diiktiraf memenangi pilihan raya itu oleh AS serta beberapa negara Amerika Latin.

Individu yang dikenakan sekatan ini akan menghadapi pembekuan aset mereka di AS.

Selain itu, rakyat atau individu yang tinggal di Amerika Syarikat dilarang berurus niaga dengan mereka.

Sekatan ini juga akan menyukarkan mereka untuk menjalankan perniagaan di peringkat antarabangsa.

Jabatan Negara AS turut mengenakan sekatan perjalanan.

Sejak pilihan raya, pihak polis bertindak tegas terhadap penunjuk perasaan anti-Maduro.

Menurut organisasi hak asasi bukan kerajaan PROVEA, lebih 20 orang terbunuh manakala lebih 2,400 orang ditahan setakat ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here