Amerika Syarikat (AS) diseru untuk bertanggungjawab, memainkan pengaruhnya terhadap pihak berkaitan, mengambil tindakan pragmatik untuk mendorong Israel melaksanakan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan menghentikan operasi ketenteraan dengan segera agar memberikan harapan hidup kepada rakyat Palestin. 

Demikian dinyatakan oleh Naib Wakil Tetap China ke PBB, Geng Shuang ketika berucap pada sesi terbuka Majlis Keselamatan mengenai isu Palestin-Israel, pada Isnin.

Geng menyatakan, pemberian bantuan oleh Agensi Kerja dan Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengikut mandat Perhimpunan Agung PBB (UNGA) adalah tonggak bantuan kemanusiaan di Gaza, dan kerja itu diteruskan walau pada masa yang paling berbahaya. Sehingga kini, seramai 224 kakitangan agensi itu terkorban dalam serangan Israel. 

“China menuntut Israel menjalankan penyiasatan terhadap semua kes kematian kakitangan kemanusiaan, dan mengenakan tindakan sewajarnya ke atas pesalah terbabit,” tegas Geng. 

Beliau menambah, pemvaksinan polio secara lancar di Gaza membuktikan bahawa tindakan kemanusiaan boleh diwujudkan tanpa halangan sekiranya pihak terbabit menunjukkan keinginan politik. 

Geng berkata, China menyeru Israel mengambil berat nyawa dan tindakan kemanusiaan, mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, menarik balik sekatan dan membuka semula semua pintu masuk bagi kemasukan barang-barang kemanusiaan.

“Israel dituntut menghentikan serangan terhadap pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, menyediakan jaminan keselamatan dan kemudahan bagi pelaksanaan langkah-langkah kemanusiaan oleh pertubuhan antarabangsa,” kata Geng. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here