ANKARA, 21 Sept – Turkiye kini giat meningkatkan pendapatan menerusi pelancongan gastronomi, yang dijangka mencecah US$18 bilion menjelang akhir tahun ini dan US$25 bilion menjelang 2025.

Pelancongan gastronomi ditakrifkan sebagai perjalanan untuk meneroka budaya masakan, hidangan tempatan, minuman serta kaedah penghasilan di sesebuah wilayah atau negara.

Dengan lebih 2,200 jenis makanan dan minuman tempatan, bandar-bandar seperti Gaziantep, Adana, Hatay, dan Izmir merupakan antara pusat gastronomi penting di negara itu.

Turkiye turut melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengembangkan sektor pelancongan gastronomi termasuk menawarkan 41 kursus masakan dan pastri, dengan 16 daripadanya dijalankan di Istanbul.

Menurut laporan Agensi Pembangunan Ahiler, terdapat 34 muzium gastronomi di Turkiye yang mempromosikan produk tempatan, manakala lebih 360 festival gastronomi diadakan di seluruh negara.

Selain itu, acara-acara bagi mempromosikan budaya kulinari Turkiye turut diadakan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, Sepanyol, dan Kanada.

Menurut statistik pelancongan dari Institut Statistik Turkiye, 20 peratus daripada pendapatan pelancongan berjumlah US$23.66 bilion pada separuh pertama tahun ini disumbangkan oleh sektor makanan dan minuman.

Dalam tempoh yang sama, sektor ini telah menjana pendapatan sebanyak US$4.74 bilion, manakala pada tahun 2023, pendapatan daripada kategori ini dianggarkan mencecah US$10.9 bilion.

Presiden Persatuan Pelancongan Gastronomi, Gurkan Boztepe, dalam ulasannya mengenai perkembangan pelancongan gastronomi di Turkiye, berkata sektor ini semakin memainkan peranan penting dalam strategi pelancongan negara.

Beliau turut menekankan bahawa gastronomi memiliki potensi besar dalam mencapai sasaran Turkiye untuk menarik 60 juta pelancong dan pendapatan berjumlah US$60 bilion.

Pengiktirafan Gaziantep sebagai “Bandar Gastronomi” oleh UNESCO turut meningkatkan potensi pertumbuhan dalam bidang ini.

“Sasaran kami untuk pelancongan gastronomi pada akhir tahun ini adalah US$18 bilion, dan menjelang 2025, ia dijangka mencecah US$25 bilion,” katanya.

Boztepe juga menekankan pentingnya memperluaskan dasar pelancongan mampan bagi bersaing dengan negara-negara yang memiliki tradisi kulinari kukuh di peringkat global.

“Bandar-bandar gastronomi perlu dipromosikan dengan lebih berkesan di peringkat antarabangsa. Turkiye sedang menuju ke arah menjadi pemain global dalam pelancongan gastronomi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here