ISKANDAR PUTERI, 21 Sept – Forest City akan menjadi lokasi pertama di Malaysia yang menawarkan kadar cukai sifar peratus untuk “family office” atau firma pengurusan individu kaya, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata insentif itu adalah antara pakej kompetitif untuk menarik modal antarabangsa ke Forest City.

Antara insentif lain adalah kadar cukai konsesi korporat antara sifar dan lima peratus dan kadar cukai pendapatan individu khas sebanyak 15 peratus khas untuk pekerja berpengetahuan dan rakyat Malaysia yang bekerja di kawasan itu.

“Berikutan kami melancarkan Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City ini, kami melaksanakan langkah utama dalam merealisasikan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI.

“Kerangka ini dihasilkan untuk memastikan kemajuan Malaysia yang berterusan untuk menjadi peneraju ekonomi Asia,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman pakej insentif cukai SFZ Forest City di sini hari ini.

Acara itu disempurnakan oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan turut dihadiri Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Mengulas mengenai “family office,” beliau berkata skim pejabat “single-family,” yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, bertujuan menarik keluarga di peringkat serantau dan Malaysia untuk menguruskan kekayaan keluarga mereka dari Malaysia.

“Dengan disokong oleh infrastruktur yang baik, kumpulan bakat berdaya saing, amalan undang-undang yang mantap dan tadbir urus berkesan, banyak peluang untuk ‘family office’ ini,” katanya sambil memaklumkan skim itu dijangka beroperasi menjelang suku pertama 2025.

Amir Hamzah berkata antara kelayakan untuk menerima insentif ini, “family office” perlu mempunyai saiz aset melebihi RM30 juta dengan separuh daripada pelaburan dilaksanakan di Malaysia serta menggajikan pekerja tempatan.

Beliau berkata firma pengurusan individu kaya ini juga akan menikmati insentif selama sedekad untuk memenuhi keperluan yang diinginkan dengan pilihan untuk dilanjutkan sekiranya menambah aset dan tenaga kerja.

Menurutnya, dianggarkan terdapat 8,030 “single-family office” di seluruh dunia dan jumlah itu diunjurkan meningkat 75 peratus kepada lebih 10,720 menjelang 2030.

“Jumlah anggaran aset di bawah pengurusan ‘family office’ dijangka menokok kepada US$5.4 trilion (US$1=RM4.21) menjelang 2030 daripada US$3.1 trilion pada masa ini.

“Penubuhan ‘family office’ pastinya akan meluaskan asas pelabur untuk menyalurkan modal swasta kepada sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata selain itu, terdapat usaha untuk menjadikan Forest City sebagai hab perkhidmatan perniagaan kewangan global, teknologi kewangan (fintech) dan lokasi bagi operasi sistem pembayaran asing dengan peruntukan khas cukai lima peratus. 

“Dengan pertumbuhan perkhidmatan perkongsian di Malaysia, Forest City berpotensi sebagai lokasi sokongan perniagaan yang ideal,” kata Amir Hamzah.

Menurutnya industri perkhidmatan perkongsian Malaysia mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan lebih 800 pusat perkhidmatan perniagaan global didaftarkan di bawah Malaysia Digital (MD).

“Pusat perkhidmatan perniagaan global yang ditubuhkan di zon kewangan akan mendorong penurunan kos dan meningkatkan produktiviti bagi sektor kewangan menerusi proses penyeragaman dan pendigitalan,” katanya.

Amir Hamzah berkata syarikat fintech memainkan peranan penting bagi kemajuan ekonomi Malaysia pada masa depan.

Katanya, sehubungan itu Forest City menyasarkan untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif terhadap pertumbuhan fintech, yang menumpukan kepada bidang teknologi kawal selia dan teknologi insurans.

“Dengan memupuk kerjasama, inovasi dan pelaburan, zon kewangan itu menyokong objektif nasional yang lebih luas untuk mengubah Malaysia menjadi hab perkhidmatan kewangan yang canggih,” katanya.

Beliau berkata SFZ akan meningkatkan lagi pertumbuhan sektor perbankan dengan menggalakkan penyelesaian inovatif dan memudahkan transaksi rentas sempadan yang lancar.

“Untuk tujuan ini, kami gembira untuk mengumumkan bahawa institusi perbankan, insurans, pengantara pasaran modal dan entiti sektor kewangan lain turut layak menikmati insentif termasuk potongan khas terhadap kos penempatan semula, elaun bangunan industri yang dipertingkatkan dan pengecualian cukai pegangan.

“Sekurang-kurangnya, dengan sokongan Bank Negara Malaysia, bank asing yang diperbadankan di dalam negara akan menikmati fleksibiliti kawal selia untuk membuka cawangan tambahan di SFZ.

“Mereka juga akan meraih manfaat daripada fleksibiliti pertukaran asing untuk peminjaman luar pesisir dalam mata wang asing dan pelaburan dalam aset mata wang asing,” katanya.

Menurut Amir Hamzah, ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk memupuk ekosistem kewangan yang aktif serta memenuhi keperluan kewangan domestik dan antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here