ALOR SETAR, 22 Sept – Operasi feri di Terminal Penumpang Kuala Kedah yang ditutup sementara bermula Khamis lepas hingga semalam berikutan amaran angin kencang dan laut bergelora telah beroperasi semula hari ini.

Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd Kapten Dr Baharin Baharom berkata ia melibatkan empat perjalanan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi dan lima perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah.

“Selepas tiga hari operasi ditutup, perjalanan feri pertama dari Kuala Kedah adalah pada pukul 1.30 tengah hari manakala dari Langkawi ke Kuala Kedah pada pukul 10.30 pagi tadi.

“Keadaan cuaca hari ini baik dan kita akan pantau sama ada terminal boleh terus beroperasi atau tidak kerana dimaklumkan akan berlaku fasa peralihan monsun bermula Selasa ini yang akan menyebabkan berlakunya hujan lebat dan angin kencang,” katanya ketika ditemui di Terminal Penumpang Kuala Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata jika berlaku ribut dan angin kencang sehingga menyebabkan perjalanan feri tidak boleh diteruskan, perjalanan bagi perkhidmatan feri dan feri roll-on roll-off (RORO) akan dialihkan ke Terminal Penumpang Kuala Perlis.

“Kita akan tambah bilangan feri semaksimum mungkin di Kuala Perlis. Tetapi jika dilihat, jumlah pelancong masuk ke Langkawi berkurangan mungkin sebab cuti sekolah sudah habis atau mereka panik melihat keadaan laut yang berombak teruk seperti ditularkan di media sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Baharin berkata berikutan perjalanan feri yang terpaksa dibatalkan akibat cuaca buruk itu, lebih 6,000 penumpang meminta pulangan wang manakala lebih 5,000 menukar tarikh tiket dan laluan ke Kuala Perlis.

“Buat masa ini, lebih RM130,000 telah dipulangkan kepada penumpang yang terjejas. Kita akui memang pihak konsortium sedikit terkesan kerana ia melibatkan jumlah penumpang yang ramai, dianggarkan lebih 12,000 orang.

“Kita terima permintaan (pulangan) yang banyak, sebab itu kita beroperasi 24 jam kerana mahu pastikan wang-wang penumpang yang terjejas dipulangkan secepat mungkin,” katanya.

Seorang penumpang feri Siti Zaharah Mansor, 55, dari Sik berkata dia bersama 10 ahli keluarga termasuk cucu lelakinya Muhammad Faris Zaquan Makhruzi, 13, yang menghidap kanser tulang ke Langkawi pada Selasa lepas dan sepatutnya pulang ke Kuala Kedah semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here