BAGAN DATUK, 24 Sept — Bagan Datuk menjadi daerah tertinggi di negeri ini memperoleh pendaratan ikan marin berjumlah 136,929.45 tan metrik pada tahun lepas. 

Pengarah Perikanan Perak Mohd Ghazali A Manap berkata hasil pendaratan ikan sepanjang tempoh berkenaan bernilai kira-kira RM857,045,441.15.

“Jumlah pendaratan ini menjadikan Bagan Datuk yang tertinggi dalam negeri Perak termasuk di Semenanjung Malaysia dan Perak merupakan paling tinggi pendaratan ikan negara. 

“Jeti nelayan di Hutan Melintang masih merekodkan tangkapan paling tinggi berbanding jeti lain di negeri ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Lesen Sampan Khas dan Penyerahan Bantuan Unjam myKomuniti (myKP) Rungkup di Dewan Masjid Tuminah Hamidi dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya dan ADUN Hutan Melintang S. Wasanthee. 

Mohd Ghazali berkata sebanyak 65 unit unjam bernilai RM49,600 diberikan kepada myKP Rungkup untuk dilabuhkan di perairan dalam kawasan berkenaan. 

“Unjam ini ialah usaha kerajaan bagi meningkatkan sumber perikanan bagi tujuan sekuriti makanan negara, selain pada masa sama meningkatkan pendapatan nelayan. 

“Setiap unjam akan ditanda untuk memudahkan nelayan mengenal pasti atau berada di habitat ikan dan ia juga memberi peluang kepada komuniti perikanan di sini menguruskan unjam secara bersama,” katanya. 

Sementara itu, Shahrul Zaman berkata pihaknya berterima kasih kepada Jabatan Perikanan Perak kerana meluluskan 20 lesen sampan khas nelayan Rungkup. 

“Pada tahun lepas 1,271 lesen telah dikeluarkan di Bagan Datuk dan sebanyak 51 lesen sampan khas telah dikeluarkan pada 2023.

“Daripada jumlah itu (1,271), bilangan lesen sampan ialah 273 manakala di Zon A sebanyak 181 lesen dikeluarkan, Zon B (203), Zon C (467) dan Zon C2 (97) serta vesel peranti pengumpul ikan (MPPI) diberi 50 lesen,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here