PUTRAJAYA, 28 Sept – Sebanyak 62,635 kenderaan persendirian Singapura telah mengaktifkan tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) sebagai persediaan penguatkuasaan VEP di sempadan darat Malaysia-Singapura.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli dalam kenyataan hari ini berkata penguatkuasaan VEP dilaksanakan bermula 1 Okt ini secara berfasa.

“Semua kenderaan asing Singapura yang belum memiliki VEP masih boleh memasuki Malaysia seperti biasa.

“Bagaimanapun, semua pemilik kenderaan persendirian Singapura yang belum mendapatkan tag RFID VEP akan diberi peringatan di pintu masuk untuk segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP,” katanya.

Beliau berkata pendaftaran, pemasangan dan pengaktifan tag RFID VEP boleh dilakukan di Pejabat TCSens, Danga Bay, Johor Bahru dan Akademi JPJ Wilayah Selatan, Johor Bahru.

Selain itu, ia juga boleh dilaksanakan di Pejabat JPJ Johor, Taman Daya, Johor Bahru dan VEP Collection Centre, Woodlands.

Beliau berkata Notis Amaran akan diberi kepada pemilik kenderaan persendirian Singapura sebelum meninggalkan Malaysia sekiranya masih belum memiliki VEP.

Pendaftaran dan maklumat lanjut berkenaan tag RFID VEP boleh dilakukan melalui laman sesawang https://vep.jpj.gov.my/.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here