BEIJING, 30 Sept — Tokoh bahasa dan persuratan negara, Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan menerima Anugerah Persahabatan Kerajaan China bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-75 negara itu, di sini, hari ini.

Beliau merupakan antara 26 penerima dari seluruh dunia yang diiktiraf dengan anugerah tersebut dalam majlis rasmi kenegaraan di Dewan Perhimpunan Rakyat, di sini.

Anugerah itu diberikan kepada tokoh tersebut atas pembabitan aktif beliau dalam memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia dan China melalui bidang bahasa, pendidikan dan kebudayaan. 

Awang berkata beliau sangat bersyukur dan berbangga kerana dapat mewakili negara tercinta, Malaysia untuk diberi penghormatan oleh negara China, sebuah kuasa besar dunia. 

“Usaha selama 30 tahun mengangkat bahasa dan kebudayaan Melayu di peringkat antarabangsa dihargai oleh negara China sebagai saluran persefahaman antara rakyat dua buah negara,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Awang mula bergerak aktif dalam usaha itu sejak 2000 ketika menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa Pustaka (DBP).

Penglibatannya semakin berkembang apabila beliau dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) pada 2007.

Kemudian, pada 2016, selepas tamat tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah DBP, beliau sekali lagi diberi kepercayaan untuk memegang jawatan tersebut.

Hasil daripada usaha beliau bersama Pengarah Pusat Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) Prof. Wu Zong Yu, serta pensyarah bahasa Melayu warganegara China, kini terdapat 17 institusi pengajian tinggi di China yang menawarkan program ijazah, diploma, dan kursus khas dalam bahasa Melayu.

Awang melalui satu kenyataan, menekankan pentingnya untuk mengharmonikan hubungan antara manusia, terutama dalam kalangan bangsa dan negara di bahagian timur dunia, termasuk Malaysia serta China yang memiliki banyak persamaan daripada aspek tamadun dan budaya.

Beliau juga menekankan kepentingan semangat persahabatan yang terjalin pada abad ke-15 antara Kerajaan Melayu Melaka dan Dinasti Ming.

Mengulas tentang Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) yang dimulakan dengan kerajaan China sejak 2013, beliau menegaskan bahawa kerajaan Tembok Besar itu mengambil pendekatan persahabatan dalam pelaksanaannya, bukannya hegemoni.

Tokoh tersebut turut mencadangkan agar lebih banyak hubungan antara rakyat di kedua-dua negara dirangka dan dilaksanakan melalui bidang bahasa, pendidikan, kebudayaan dan ekonomi, sebagai pelengkap hubungan antara kerajaan Malaysia dan China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here