Beijing, 30 Sept – Dalam usaha untuk menstabilkan pasaran hartanah, Bank Rakyat China dan Pentadbiran Kawal Selia Kewangan Kebangsaan mengumumkan beberapa langkah pada Ahad.

Dasar ini bertujuan untuk menangani cabaran berterusan dalam sektor hartanah, termasuk merangsang permintaan, mengurangkan tekanan kewangan ke atas pemaju dan menggalakkan pertumbuhan mampan dalam pasaran perumahan.

Kadar gadai janji untuk rumah pertama, rumah kedua dan seterusnya perlu dikurangkan sekurang-kurangnya 30 mata asas di bawah kadar utama pinjaman (LPR) menjelang 31 Okt 2024, untuk meringankan beban kewangan pemilik hartanah.

Secara prinsip, 18 bank komersial nasional perlu membentangkan rancangan pelarasan mereka sebelum 12 Oktober.

Kadar bayaran pendahuluan minimum untuk gadai janji perumahan komersial individu akan diturunkan kepada tidak kurang daripada 15 peratus bagi pembelian rumah pertama dan kedua.

Mekanisme penetapan harga bagi kadar faedah gadai janji perumahan komersial individu akan diperhalusi supaya kadar boleh diselaraskan secara dinamik berdasarkan perjanjian antara peminjam dan bank.

Bank pusat akan meningkatkan pembiayaan untuk institusi kewangan jika mereka mengeluarkan pinjaman untuk menyokong perusahaan milik negara tempatan memperoleh perumahan komersial siap yang belum terjual pada harga yang berpatutan untuk digunakan sebagai perumahan mampu milik.

Di samping itu, beberapa dasar kewangan untuk pasaran hartanah akan dilanjutkan. 

Pelbagai langkah rangsangan ini dibuat selepas mesyuarat Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China baru-baru ini menggariskan usaha untuk membalikkan kemerosotan dan menstabilkan pasaran hartanah.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here