LANGKAWI, 3 Okt — Pulau Langkawi bakal berubah wajah menjadi bandar pintar menerusi pelaksanaan projek demonstrasi 5G, kata Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah, Mohd Firdaus Ahmad.

Beliau berkata bagi tujuan tersebut beberapa syarikat telekomunikasi telah diberi bahagian masing-masing bagi membangunkan sistem dan teknologi 5G yang bersesuaian di pulau ini.

“Syarikat tersebut akan bangunkan teknologi seperti lampu isyarat pintar, sistem pengawasan pintar dan hospital pintar mengikut kriteria yang ditetapkan. Bandar pintar itu nanti akan turut memiliki pusat kawalan operasi bersepadu, kita nak jadikan Langkawi sebuah pulau yang bukan sahaja bandar pintar tetapi juga bandar selamat,” katanya.

Mohd Firdaus, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, berkata, demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Town Hall ‘100 Go Digital’ anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), di sini. hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr Hezri Adnan.

Lebih 100 peserta menghadiri program 100 Go Digital iaitu suatu inisiatif untuk membantu dan membolehkan perniagaan tempatan dalam sektor utama bergerak ke arah digitalisasi untuk meningkatkan kecekapan dalam pengurusan perniagaan dan pengalaman pelanggan.

Isnin lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), berkata, sejumlah lapan syarikat telah komited untuk membuat pelaburan awal bernilai RM116 juta bagi projek demonstrasi 5G bermula dari Oktober 2019 hingga Mac 2020.

Sementara itu, mengulas mengenai program 100 Go Digital , Mohd Firdaus berkata, menerusi sesi dialog awam tersebut, peniaga di Langkawi boleh memanfaatkan penggunaan teknologi hasil bimbingan MDEC.

“Program ini amat bermakna dan berjaya kerana di Langkawi kebanyakan peniagaan masih lagi menggunakan teknologi lama seperti pembayaran secara tunai.

“Saya tengok tadi IPAY88 satu daripada rakan MDEC ada menawarkan kemudahan transaksi pembayaran menggunakan telefon pintar dalam dua tiga saat dah selesai.

“ Selepas ini peniaga goreng pisang pun dah boleh dan terima pembayaran menerusi telefon pintar… selepas ini juga dalam sehari jumlah jualan mereka boleh meningkat menerusi kemudahan pembayaran ini,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here