PHNOM PENH, 7 Okt – Kemboja berada di landasan untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 42 peratus menjelang 2030 dan mengumumkan bahawa ia akan menambah tenaga angin ke dalam grid nasional menjelang 2026 dan berjanji tidak akan meneruskan loji jana kuasa arang batu pada masa depan.

Pengumuman dasar ini selaras dengan dasar peralihan tenaga negara untuk mengubah negara itu menjadi negara tenaga hijau dan mencapai keneutralan karbon menjelang 2050.

“Terdapat keperluan bagi Kemboja untuk terus menggunakan tenaga arang batu tetapi tidak membenarkan projek baharu,” kata Menteri Perlombongan dan Tenaga, Keo Rattanak, dalam satu majlis syarahan  bertajuk “Dasar Tenaga Kemboja” di Universiti Diraja Phnom Penh, lapor Agensi Kampuchea Presse.

Keo berkata tenaga bersih seperti suria dan angin akan menyokong kepelbagaian portfolio tenaga negara dan turut meningkatkan keterjaminan tenaga negara ini, lapor media tempatan.

Menurut Pihak Berkuasa Elektrik Kemboja, tenaga boleh diperbaharui seperti hidro, suria dan biojisim  membentuk 48.48 peratus campuran tenaga dan disambungkan secara langsung ke grid nasional. Sementara itu, tenaga tidak boleh diperbaharui – arang batu dan minyak bahan api – membentuk baki 51.52 peratus.

“Bagi mengelakkan kekurangan sumber tenaga dan memastikan pengembangan, khususnya tenaga bersih (tenaga angin), kami merancang untuk mengintegrasikan tenaga angin ke dalam grid nasional menjelang 2026, dengan bekalan yang mampu milik, stabil dan saksama,” lapor akhbar dalam talian Kiripost memetik kenyataan menteri berkenaan.

Meskipun ekonominya berkembang pantas dan permintaan elektrik meningkat disebabkan oleh pembandaran yang pesat, pembuat dasar tenaga Kemboja mengambil pendekatan pragmatik untuk tidak bergantung kepada bahan api fosil yang tidak mesra alam.

Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, empangan hidroelektrik juga terdedah kepada risiko apabila paras air sungai menurun semasa musim panas. Terdapat tiga loji jana kuasa arang batu di negara ini.

Perdana Menteri Hun Manet mengambil langkah berani tahun lepas dengan membatalkan projek loji jana kuasa arang batu 700 megawatt bernilai US$1.5 bilion di wilayah Koh Kong, barat daya Kemboja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here