ISKANDAR PUTERI, 11 Okt – Lima syarikat terkemuka berpangkalan di China menunjukkan minat untuk melabur di Taman Perindustrian Tenaga Boleh Baharu (TBB) UEM Sunrise Bhd di Gerbang Nusajaya di sini.

Syarikat itu adalah China Machinery Engineering Wuxi Co Ltd; Wuxi Longmax Technology Co Ltd; Gotion High-tech Co. Ltd; Shenzhen Hopewind Electric Corporation Ltd; dan Anhui Huasun Energy Co. Ltd.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UEM Lestra Bhd Harman Faiz Habib Muhamad berkata syarikat berkenaan akan beroperasi di tanah berkeluasan 16.2 hektar di taman perindustrian berkenaan.

“Taman Perindustrian TBB di Gerbang Nusajaya adalah komponen penting dalam projek loji jana kuasa hibrid solar satu gigawatt kami di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Minat syarikat asing dalam projek itu akan memacu pertumbuhan ekonomi yang besar menerusi pelaburan langsung asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkembangan berkenaan diumumkan ketika majlis pertukaran perjanjian antara UEM Sunrise, ITRAMAS Corporation Sdn Bhd (ITRAMAS) dan China Machinery Engineering Corporation (CMEC).

Ia disaksikan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad pada Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2024 hari ini.

Sementara itu, CEO UEM Sunrise Sufian Abdullah berkata pertukaran dokumen itu menunjukkan dedikasi syarikat terhadap masa depan TBB Malaysia.

“Melalui kerjasama ITRAMAS, CMEC dan rakan kongsi kami dari China, kami komited untuk mendorong persekitaran yang menggalakkan pertumbuhan yang lancar, inovasi dan kecemerlangan dalam pembuatan tempatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here