PETALING JAYA,16 Nov: Ahli ekonomi menyuarakan keraguan terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia akan terus berkembang pada suku ke-4 tahun ini walaupun terdapat pemulihan ekonomi pada suku ke-3 baru-baru ini.

Statistik rasmi menunjukkan KDNK pulih daripada penguncupan 17.1% pada suku ke-2 2020 kepada penguncupan 2.7% pada suku ke-3.

Penurunan suku ke-2 itu dikaitkan dengan perintah kawalan pergerakan untuk mengekang penyebaran Covid-19.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Malaysia, Carmelo Ferlito berkata, kerajaan tidak sepatutnya terlalu optimis dengan kadar pertumbuhan itu.

“Pertumbuhan tahun ke tahun masih berada di jalan negatif dan pemulihan suku ke-3 dari suku ke-2 memang dijangka kerana perniagaan dibenarkan untuk beroperasi semula,” katanya kepada FMT.

Beliau tidak percaya Malaysia berada dalam proses pemulihan.

“Saya rasa kita masih dalam pemulihan fisiologi. Sebahagian langkah dalam Belanjawan 2021 sebenarnya boleh meningkatkan pemulihan ini – sudah tentu pada kos tertentu, tetapi saya rasa mereka tidak akan dapat menetapkan langkah untuk pemulihan,” katanya.

Beliau menggesa pembaharuan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan lebih terbuka terhadap perdagangan antarabangsa.

Nazari Ismail dari Universiti Malaya berkata, kadar KDNK pada suku ke-4 mungkin mengalami penurunan trend kerana perintah kawalan pergerakan di negeri utama sehingga 6 Disember.

Pemulihan ekonomi akan menjadi perlahan dan tidak menentu kerana hutang yang tinggi. “Sebarang kejutan berlaku dalam ekonomi pada masa depan akan mengancam pemulihan ini lagi.”

Goh Lim Thye, juga dari Universiti Malaya, berkata impak PKPB yang dikenakan baru-baru ini akan menjadi kurang teruk daripada suku ke-2 kerana kebanyakan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

Namun, katanya, momentum pemulihan boleh terganggu kerana sektor peruncitan, rekreasi dan pelancongan akan terjejas susulan orang ramai digalakkan kekal duduk di rumah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here