KAMPALA, 17 Okt – Kementerian Kesihatan Uganda mengumumkan rancangan untuk memasukkan vaksin malaria ke dalam jadual imunisasi kebangsaan. Langkah itu bertujuan untuk memerangi malaria dan mengurangkan kadar kematian kanak-kanak di seluruh negara.

Vaksin malaria akan diperkenalkan pada April 2025 menyasarkan kanak-kanak berumur enam bulan hingga lima tahun, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Menurut kementerian itu, bagi setiap 10 pesakit di Uganda, tiga didiagnosis menghidap malaria. Penyakit ini menjejaskan kanak-kanak kecil, dengan enam daripada setiap 10 kanak-kanak di bawah umur lima tahun dimasukkan ke hospital dan menghadapi risiko kematian yang tinggi.

Daripada setiap 100 wanita hamil, 20 menderita malaria dan berisiko kehilangan bayi mereka dan nyawa mereka sendiri.

“Rancangan memberi vaksin malaria akan mengukuhkan usaha kerajaan dalam mengurangkan lagi kes dan kesan buruk malaria serta menyumbang kepada kelangsungan hidup kanak-kanak secara keseluruhan dan mengurangkan kematian terutama dalam kalangan bayi dan kanak-kanak,” menurut kementerian itu.

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan malaria mengorbankan 70,000 hingga 100,000 orang di Uganda setiap tahun, kebanyakannya ibu hamil dan kanak-kanak.

Penyakit yang mengancam nyawa itu menyebabkan 30 hingga 40 peratus menerima rawatan pesakit luar, 15 hingga 20 peratus orang dimasukkan ke hospital manakala 10 peratus yang dijangkiti malaria di Uganda meninggal dunia akibat penyakit itu.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here