KUALA LUMPUR, 20 Okt — Barisan Nasional (BN) mampu menang lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang, sekiranya gabungan itu mengetepikan perkara-perkara remeh kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kejayaan itu juga boleh dicapai, sekiranya gabungan itu dapat terus memperkukuh semangat serta mengenepikan permasalahan sesama parti komponennya.

“Kalau BN bekerja keras, strategi pilihan raya disusun dengan baik dan jika kita mengenepikan permasalahan kita sesama sendiri, walaupun di negeri pembangkang, BN masih boleh menang dengan cemerlang kalau ini dapat kita pertahankan.

“Kalau kita mengetepikan perkara titik bengik, petty issues, kembali kepada landasan BN yang sebenar dengan memperkukuh semangat BN dan pada masa sama pemimpin utama parti komponen mengenepikan perbezaan pandangan, saya hampir pasti bahawa BN akan mendapat kerusi yang lebih di dalam PRU akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-71 di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata seperti parti lain, BN juga mempunyai permasalahan sendiri, namun gabungan itu perlu bijak menyembunyikan masalah yang timbul sesama mereka, serta berusaha menyelesaikannya di peringkat dalaman.

“… kita harus menyantuni perbezaan pendapat kita di dalam ‘bilik tidur’ kita, jangan pernah bawa masalah bilik tidur di depan halaman rumah kita ataupun kita membawa di luar pagar rumah kita.

“Apabila kenderaan lalu lalang dan orang ramai melihat kita membawa permasalahan itu, maka permasalahan itu akan jadi lebih besar. Oleh itu, menyantuni perbezaan pendapat (sesama) kita ini amat penting,” katanya yang juga presiden UMNO.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan pelantikan Wee sebagai Penasihat Pelaburan Masyarakat Cina di bawah Timbalan Perdana Menteri, yang berperanan sebagai penasihat beliau khususnya dalam pelaburan melibatkan masyarakat tersebut di negara ini.

Beliau berkata sebagai langkah awal, pelaburan RM5 bilion dalam industri halal semasa di China juga adalah hasil usaha beliau bersama presiden MCA itu.

“… Ini memperlihatkan bahawa kerjasama ini adalah terjemahan yang terbaik yang bukan ada agenda tersendiri. Kita sentiasa berterus terang antara adik-beradik di dalam parti komponen,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here