FUZHOU, 25 Julai – Wilayah Fujian di China meningkatkan tahap respons kecemasan taufan kepada Tahap III, ketika Taufan Doksuri semakin menghampiri.

Ibu pejabat kawalan banjir dan bantuan kemarau wilayah menaikkan tahap itu pada 6 petang Isnin.

Menurut pemantauan pusat meteorologi, Taufan Doksuri terbentuk di perairan timur Filipina pada Jumaat dan berkembang menjadi taufan kuat pada 8 pagi Isnin.

Jabatan Meteorologi meramalkan Doksuri akan bergerak ke barat laut pada kelajuan 10 hingga 15 kilometer sejam dan dijangka mendarat di antara pantai selatan dan tengah Wilayah Fujian serta pantai timur Wilayah Guangdong pada pagi Jumaat.

Doksuri dijangka membawa angin kencang dan hujan yang berterusan di Fujian dan Guangdong.

Pihak berkuasa di seluruh Fujian memantau rapat situasi itu dan telah mengambil beberapa langkah berjaga-jaga.

Bot nelayan diminta kembali ke pelabuhan dan persiapan telah dibuat untuk menghadapi sebarang kemungkinan seperti aliran air deras dari kawasan pergunungan, banjir dan tanah runtuh.

Sementara itu, Wilayah Guangdong diletakkan di bawah Tahap IV pada pukul 10 malam Isnin.

China mempunyai sistem respons kecemasan kawalan banjir empat tahap dengan Tahap I merupakan tahap yang paling serius.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here