KUALA LUMPUR, 26 Okt – Hospital akan menjadi satu daripada tujuh kawasan yang diberikan keutamaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam usaha menyelesaikan masalah kesalinghubungan.

 Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ini disebabkan masih terdapat hospital kerajaan yang berdepan dengan masalah liputan dalam bangunan untuk kegunaan telefon bimbit serta ketiadaan penyediaan prasana teknologi 5G yang sesuai dengan penggunaan aplikasi perubatan.

“Contohnya, di kawasan saya seperti Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), terdapat sesetengah blok atau tingkat, dan mungkin juga wad, menghadapi masalah Internet. Begitu juga di Hospital Serdang, oleh itu kita perlu selesaikan masalah asas ini.

“Selain itu, kita ingin memastikan penyediaan prasarana 5G di hospital bagi membolehkan penggunaan aplikasi (perubatan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Pengumuman Kolaboratif Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends sempena Persidangan MIH Megatrends 2024 di sini hari ini. 

Justeru, beliau menyifatkan keberadaan MCMC dan kementerian dalam persidangan tersebut adalah bertepatan pada masanya kerana mengetengahkan kepentingan kesalinghubungan dalam sektor kesihatan terutamanya untuk beberapa aplikasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here